Tasawuf Kosmopolitan ( 2)
Tujuan Ilmu dan Hakikat Kehidupan
Adapun fasal tujuan hendak pandai, hendak membaiki sifat-sifat diri yang kekurangan, hati, fikiran, pengetahuan dan sebagainya tidaklah disebut-sebut, kerana bukan itu yang dikehendaki! Melainkan yang diangan-angan dan dicita-cita hanya kerja baik, gaji besar, senang hidup sahaja! Pahadal ilmu pengetahuan tidaklah sekali-kali patut dipandang tujuannya kepada pangkat, gaji dan keuntungan diri. Yang demikian itulah jalan fikiran orang Barat yang disebut mereka "hedonism" dan "utilitarianism", yakni apa-apa perbuatan pun mestilah ditimbang daripada gunanya, faedahnya dan nikmatnya kepada diri sendiri, istimewa faedah kebendaan dan keduniaan daripadanya.
Adapun falsafah Timur dan Islam tidak begitu, melainkan selalu menuju kepada tujuan faedah yang lebih halus, lebih tinggi dan lebih luas. Umpamanya, belajar dan menuntut ilmu ialah supaya jadi pandai, bijak, berguna kepada manusia dan kepada dunia ; supaya membaiki pihak hati, otak fikiran, kebatinan, jiwa dan rohani ; juga supaya dapat berbuat kebajikan kepada orang lain, bukan lagi kepada diri.
Za'ba, Asuhan Budi Menurut Islam , m/s 112, 1958
Comments
Post a Comment