Perihal PAS
Kita, baik penyokong PH atau PN, rasa macam kita sudah cukup faham. Namun peminat politik dan pemerhati gerakan Islam, ada waktu-waktunya, sukar menanggapi gejala ini. PAS (baharu) dan Islamisasi 1970-an gejala yang panjang, berlapis-lapis, ruwet dan tebal sejarahnya. Memang tidak akan dapat diselami dengan mudah dan selapis. Biar saya cuba huraikan dua daripada empat perkara yang dimaksudkan di bawah. Boleh jadi juga tanggapan saya silap, cetek atau lemah. Tanggapan ini untuk diperdebatkan lagi. 1. PAS bukan parti biasa, ia sebuah parti massa seperti warisan pergerakan politik abad ke-20. Diilham daripada gerakan buruh dan Marxisme, banyak parti di banyak negara sejak lebih 100 tahun lalu mengambil pendekatan ini. Di negara kita, Umno dan PAS menggunakan kaedah ini. Ia mempunyai sistem perkaderan, ideologi, cawangan ke peringkat akar umbi, institusi satelit, disiplin dan kawalan, sistem dana, pelbagai latihan dan sayap-sayap pergerakan. Banyak parti bercit...