Tasawuf Kosmopolitan (4) Ujian Para Nabi

Iman Belum, Islam Ya!

Ketika saya menulis ini, saya baru sahaja mendapat surat penempatan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengajar di Sekolah Jeram, Kuala Selangor. Alhamdulillah.Maha Suci Allah atas nikmat dan kurniaan ini.

Orang pertama yang saya kongsikan berita baik ini sudah tentu kepada isteri saya, Nur Jannah. Kemudian ibu ayah dan ahli keluarga. Ketika ini juga saya di dalam minggu-minggu yang agak sulit untuk saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Seminggu yang lalu saya mengalami insiden ketika memandu. Hanya seorang diri. Kereta terpaksa dihantar ke bengkel untuk dibaiki. Ini membuatkan saya seakan-akan terputus sayap untuk mencari rezeki dengan kereta itu. 

Mungkin pada kacamata orang lain, ujian ini tidaklah besar mana. "Alahai, kecil sangat ujian kamu ini Aiman!". Tapi saya harus berterus terang. Tidak senang duduk saya 2 minggu kebelakangan ini. Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga kira- kira 4 bulan. Tanggungjawab sebagai suami untuk menafkahi isteri adalah berat. Saya pula hanya mencari rezeki dengan memandu e-hailing. Jika kereta rosak, maka terputuslah punca pendapatan saya. 

Ketika diri tidak dapat bergerak bebas kesana-kemari ,saya cuba mengisi masa lapang saya dengan membaca buku Tasawuf Moden, Tafsir Al-Azhar, dan Falsafah Hidup karangan Buya Hamka, dengan harapan dapatlah mententeramkan diri dengan mutiara kata dan nasihat berharga dari Hamka tentang makna ujian dan sabar. 

Ketika saya dengan ujian ini dan berselingan dengan khabar baik ini, mengingatkan saya kepada bicara Hamka didalam Tafsir Al-Azhar tentang bab "Iman Belum, Islam Ya!" pada surah Al-Hujurat.

"Sesudah pada ayat 13 diberi peringatan bahawa yang terpenting dalam kehidupan di dunia ini bukanlah membanggakan bangsa dan suku, melainkan menginsafi bahawa adanya bangsa dan suku adalah untuk kenal-mengenal di antara satu sama lain dan berhubungan baik di antara suatu suku bangsa dengan lain suku bangsa dan semuanya itu dikemudikan oleh kejujuran hati dan ketakwaan kepada Allah maka pada ayat 14 ini diperingatkanlah beberapa cacat dari manusia. Mula sekali ialah cacat yang ada pada orang, yang membanggakan kerana dia telah beriman! Dia sekarang telah insaf! Sebab dia telah percaya kepada Allah. Hal ini dijelaskan Allah pada ayat ini.

"Orang-orang Arab dusun itu berkata, kami telah "

Ertinya bahawa kamu sekarang telah insaf, kami sekarang telah percaya akan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w

Disini disebut Al-Araab.

Menurut istilah pemakaian bahasa orang Arab, maka kalimat Al-Araab  yang dimulai dengan memakai huruh hamzah itu, ertinya ialah orang Arab yang masih Badwi, yang belum mengenal peradaban dan kesopanan pergaulan, dan belum mengerti peribahasa yang halus. Di samping itu adalah lagi kalimat Al-Arab memakai huruf 'ain langsung dengan tidak memakai huruf hamzah maka ertinya ialah angsa Arab. Oleh sebab itu maka dalam ayat inihendaklah kita ertikan "orang Arab dusun", atau lebih ringkas lagi "orang Badwi itu berkata". Tidak boleh kita ertikan "orang Arab berkata". Dalam hal ini ada satu ayat yang terkenal berbunyi, 

الأعراب أشدّ كفرٍا ونفاقٍا

Ada orang yang memberi erti " Orang Arab adalah sangat kafir dan sangat munafik". Mungkin kita memberi erti begini kerana kita benci kepada orang Arab, tetapi kita telah memiliki satu bahasa yang menyebabkan kita sendirilah yang kafir dengan tidak disedari kerana berani memberi erti ayat Al-Quran dengan tidak ada ilmu. Kerana kalau kita ertika demikian, nescaya kita mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w., adalah kafir dan munafik semua, sebab mereka itu adalah orang Arab. Padahal Al-Araabu bukanlah beerti orang Arab, melainkan beerti orang Badwi atau Arab Badwi.

Di dalam ayat ini, disebutkan bahawasanya orang-orang Arab Badwi yang belum berperaban itu berkata, kami telah beriman." Lalu Allah berkata kepada Rasul-Nya, " katakanlah, kamu belum beriman tetapi sebutkan sahajalah, "Kami telah Islam". 

Di sini dengan halus dapat kita rasakan perbezaan pengalaman si Badwi tersebut tentang iman dan Islam. Dia mengatakan bahawa dia belum beriman. Orang itu dianjurkan sahaja terlebih dahulu mengatakan bahawa, "saya telah Islam!" Sebab dengan semata, mata mengakui bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Alla, mengakui dengan lidah, mentashdiqkan apa yang diakui dengan ucapan lidah itu dengan hati, serta mengikutinya dengan perbuatan sudahlah boleh orang itu menyebut dirinya orang Islam. Tetapi orang yang telah mengakui pengakuan yang selayaknya diakui oleh orang Islam dan telah mengerjakan apa yang wajib dikerjakan oleh orang Islam, belum tentu orang itu beriman atau percaya. Betapa banyaknya orang Islam, dia mengucapkan syahadat, dia mengerjakan solat, dia berpuasa dan naik haji, namun imannya kepada Allah belum dihayatinya, belum disedarinya dan belum diinsafinya sehingga keislamnya itu tidak mengesan kepada hidupnya. Misalkan sahaja orang Islam yang taat mengerjakan ibadah tetapi bila datang seruan jihad pada jalan Allah, timbullah takutnya dan larilah dia dari masyarakat ramai, takut akan di ajak masuk ke dalam arena perjuangan., lalu dia lari menyisihkan diri untuk lebih khusyuk menurut fikirannnya mengerjakan ibadah di tempat yang sunyi. "Kerana belumlah masuk imamn itu ke dalam hatimu". Dengan demikian maka Rasulullah s.s.w memberi ingat agar orang yang berperadaban dan berkesopanan tinggi menurut agama Islam hendaklah berkata yang seukuran dengan diri, jangan cakap berlebih-lebihan. "Dan jika kamu menaati Allah dan RasulNya tidaklah dia akan mengurangi dari amalan kamu itu sedikit pun".

Dengan tiga patah ucapan Allah itu teranglah Allah memberikan bimbingan kepada setiap orang agar mengukur kata-kata yang keluar dari mulut dengan kesanggupan dan kesederhanaan yang ada. Mula-mula datanglah peringatan, janganlah terburu mengatakan bahawa kami telah beriman, cukuplah katakan sahaja bahawa kami telah Islam, sebab iman sejati itu belum lagi masuk ke dalam jiwamu. 

Mengapa belum? Nescaya kita ingat lagi kepada ayat 1 dari surah Al-Ankabuut, 

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ٢

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, "Kami telah beriman, padahal mereka tidak diuji (dengan suatu cobaan)? (Al-Ankabuut: 29)

Apakah disangka mudah sahaja mengakui beriman? Apakah suatu pengakuan disangka tidak akan terlepas dari percubaan? Apakah disangka bahawa pengakuan beriman itu akan membuka jalan datar sahaja, lurus sahaja, menuju sesuatu yang dicita-dicita dengan tidak ada halangan?

Oleh sebab  itu dicegahlah si Badwi itu janganlah dia terburu-buru mengakui diri telah beriman, cukupklah akui sahaja diri terlebih dahulu telah Islam. Dan di dalam pengakuan itu, hendaklah benar-benar dilakukan taat kepada Allah dan Rasul dengan menjalankan perintahnya, menghentikan larangannya. Apabila perintah dikerjakan, larangan dihentikan, pastilah tidak akan rugi. Lama-lama pasti akan dirasakan nikmat beragama dengan berangsur sedikit demi sedikit akan tampaklah titik terang dalam iman. "Sesungguhnya Allah itu adalah Maha Pengampun." atas kelancangan mulut mengakui diri telah beriman, padahal rukun Islam sahaja pun belum sempurna dikerjakan.

"Maha Penyayang"

                                                                                                                        (ayat 14)

Maha Penyayang kepada orang-orang yang belum merasa cukup langkah dengan apa yang dia langkahkan, lalu dia berjalan juka ke muka, kadang-kadang tegak dan kadang-kadang terhempas, namun dia bangun lagi dan tegak lagi dan jatuh lagi dan bangun lagi, namun tujuannya tidaklah pernah berubah. Kepada orang yang demikian, Maha Penyayanglah Allah itu. Kemudian Allah menjelaskan siapa orang yang boleh menyebut dirinya telah beriman.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian itu mereka pun tidak merasa ragu-ragu."

                                                                                                                                                (ayat 15)

Pada ayat ini telah diberikan keterangan tegas tentang mutu iman, iaitu percaya yang tidak dicampuri oleh perasaan ragu-ragu sedikit jua pun.

Pertandaan yang pertama ini sungguh-sungguh perlu diperingatkan. Misalnya bahawa Allah telah berjanji akan memberikan pertolongannya kepada orang beriman. Padahal sebelum mencapai pertolongan itu, terlalu banyak penderitaan yang menimpa diri. Banyak orang yang mengadukan halnya bahawasanya dia telah beribadah dengan tekun, telah taat kepada Allah dan Rasul sebagaimana yang diingatkan dalam Al-Quran atauoun dalam sabda Rasul, namun pertolongan itu tidak juga datang atau lama baru datang. Maka banyaklah orang yang hilang kesabarannya. Padahal kalau diperhatikan kehidupan rasul-rasul Allah sendiri, jaranglah di antara rasul ini yang sunyi daripada penderitaan. Seumpama Nabi Ibrahim, pernahlah dia dibakar, Nabi Nuh , 950 tahun menjadi rasul sampai akhirnya terapung-apung di laut. Nabi Yusuf sampai terbenam di penjara sembilan tahun, Nabi Ayyub dipencilkan oleh isterinya sendiri dari rumah tangganya kerana takut akan ketularan penyakitnya. Nabi Musa yang hijrah membuang diri dari kampung halamannya sepuluh tahun. Nabi Muhammad yang hijrah ke Madinah meninggalkan kampung halaman lapan tahun dan berbagai penderitaan dari nabi-nabi yang lain. Bagi mereka itu penderitaan itulah yang menjadi halawatul iman, manis dan lazat rasa keimanan. Namun atas semua penderitaan itu, nabi-nabi dan rasul-rasul tidak merasa ragu-ragu; 

"Dan mereka berjuang dengan harta benda mereka dan diri mereka sendiri pada jalan Allah" dalam perjuangan itulah mereka merasakan kepuasan batin dan keindahan hidup. Mereka tidak mahu berdiam kerana berdiam bukanlah tugas bagi orang yang hidup.

Comments

Popular posts from this blog

Iftor Angkatan Muda Keadilan Ramadan 1446 H

Sederhana Dalam Hidup

Kenang-Kenangan di Ranah Minang Part 4