Selamat Bersara Ayahku
SELAMAT BERSARA AYAHKU
Ayahku bersara bukanlah dari menjawat jawatan Profesor Emeritus atau jawatan-jawatan pegawai berpangkat tinggi, tidak jugak bukan ustaz bukan peguam persis Haji Mohamed Hadi , tapi sekodar dari sebagai Imam Masjid Kampung, Kampung Jambu Bongkok. Sebuah desa yang terletak di pinggiran ombak Laut China Selatan, bermukimkan Merchang, berdaerahkan Marang , bernegerikan Terengganu.
1/1/1976 sehingga 1/1/2025, satu jangka waktu yang cukup panjang. Merentas zaman. Latar masa yang melewati pelbagai era dan konflik yang melingkari sosio budaya/politik orang Melayu terutama khilaf masyarakat Melayu Pantai Timur dalam konteks budaya beragama akibat perbezaan fahaman ijtihad politik masing-masing .
Solat dua imam, tidak sah sembelihan "imam kerajaan", Solat jumaat di Qaryah lain, hanya kerana perbezaan fahaman siyasah ketika itu telah menghiruk-pikuk bumi Darul Iman era 80an sehingga lah lewat pasca 1999.
Namun bak kata pepatah " tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas". Walaupun jatuh bangunnya kerajaan demi kerajaan di bumi Terengganu dari 70an hingga 2024, ayahku meneruskan khidmatnya sebagai Imam kerana amanah itu diwatikahkan oleh ke bawah duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu ketika itu, al marhum Sultan Nasiruddin Shah.
Lewat 2025 kini, ketika pertembungan aliran sekterian agama antara Salafiyyah dan Aswaja sangat tajam di Tanah Semenanjung Melayu, mengingatkan kita seakan-seakan apa yang pernah berlaku di Bumi saudara serumpun Melayu Islam kita di Tanah Sumatera antara gerakan Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama.
Ianya juga mengingatkan saya akan sosok insan bernama Haji Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali Haji Rasul, ayah kepada Ulama terkenal Nusantara Haji Abdul Malik Abdul Amrullah (HAMKA).
Beliau lahir di sebuah desa kecil bernama Kepala Kabun, Lorong Betung Panjang, Negeri Sungai Batang Maninjau dalam Luhak Agam, Sumatera Barat.
Membuat perbandingan antara Haji Rasul Dengan Haji Ngah adalah tidak seimbang kerana Haji Rasul merupakan Ulama' besar di ranah Minangkabau, manakala ayahku hanyalah seorang Imam kampung di Semenanjung Tanah Melayu.
Namun, apa yang ku lihat adanya titik-titik persamaaan antara mereka berdua, seperti khidmat mereka bakti terhadap agama. Kehidupan sehari-hari mereka seakan-akan sama, dan itulah juga kehidupan para Imam dan para santri sehari-hari, iaitu istiqomah beribadat solat 5 waktu sehari semalam di balaisoh, mendidik anak-anak muda dengan pelajaran agama mengingatkan cerita Hamka tentang kehidupan orang-orang di Minangkabu jugak tidak renggang dari surau atau balaisoh sebagai institusi sosial selain tempat beribadat.
HAMKA di dalam bukunya bertajuk "Ayahku" ada menceritakan kehidupan sehari-sehari ayahnya selaku "Imam" di desa kecil.
"Ibadat kepada Allah sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya. Sejak masih kecilnya, telah wirid baginya bangun Subuh. Tatkala dia telaha mengajar, pagi-pagi buta dia telah ke pergi ke surau dan dibangunkannya murid-muridnya. (m/s 336)
Kadang-kadang beliau sendiri yang Azan dengan suaranya yang amat merdu. Dan pada waktu mudanya di kampung, kerapkali beliau membaca tarhim kira-kira pukul empat hari akan siang. Kedengaran suaranya dibawa angin dari tepi danau itu (Danau Maninjau) sampai ke kampung-kampung puncak bukit. (m/s 336)
Ayahku begitulah juga. Tidaklah jauh beza rutin seorang Imam, bangun untuk memimpin solat Subuh,sesudah fajar menyinsing ke pasar sebentar membeli barang-barang keperluan rumah lalu pulang berehat seketika berqailullah sebelum masuknya waktu Lohor. Begitulah juga Asarnya, Maghrib dan Isyak. Tidak rengganglah balaisoh dari kehidupan sehari-harinya.
Mungkin disebabkan kekangan amanah tanggungjawab inilah yang menyebabkan aku tidaklah banyak "bercuti-cuti" "berjalan-berjalan" di negeri orang semasa kecil.
Tidak seperti seorang pemuda bernama Zainuddin Ikmal Hakim , anaknya si kedua pasangan guru. Pantang cuti sekolah , kesana kemarilah mereka.
Mungkin sedikit perbezaan antara Haji Rasul di Sumatera dan Haji Ngah di semenanjung ini dari segi khidmat agama dalam komuniti masyarakat adalah seperti membaca talkin kepada si mati dan majlis tahlil kerana Haji Rasul berpandangan "majlis tahlil tiada asal daripada agama". Namun khidmat-khidmat agama lain adalah sama seperti menjadi imam, memimpin solat jenazah, menjadi rujukan masyarakat kampung, menyembelih haiwan di hari-hari raya Qurban dan selaku amir zakat, adalah sama sahaja.
Hari-hari berganti hari, bulan berganti bulan ,tahun berganti tahun.
Genap 49 tahun ayahku berkhidmat selaku Imam Masjid Kampung Jambu Bongkok, Marang Terengganu. Al-fadhil Ustaz Zuliadin Abdullah Zuliadin antara pendakwah beraliran wasatiyy yang pernah berkuliah di masjid ini. Kini legasi salasilah imam daripada gemuloh Nyang Kadir , gemuloh Tokki Haji Md Ali dan Ayahku Haji Ngah di teruskan oleh kekanda al fadhil Anas Abu Malik .
Semoga amal bakti ayohku "Pok Ngoh" di terima dan diganjari pahala di sisi Allah. Amiin.
Selamat bersara Ayohku,
Haji Ngah bin Haji Md Ali,
Imam Masjid Kg. Jambu Bongkok, Marang Terengganu
1/1/1976-1/1/2025
Comments
Post a Comment