ANWAR IBRAHIM: BUYA HAMKA, REFORMIS KRITIS DAN KREATIF

 

Seminar Pemikiran Antarabangsa Buya Hamka amat wajar kerana minat dan kefahaman tentang karya-karya Buya Hamka itu kini  tidak sepintar atau sehebat generasi terdahulu. Oleh itu ia harus dikumandangkan semula. 

Kalau menukil daripada magnum opus (karya besar) Hamka, Tafsir al Azhar yang saya cuba hadamkan semasa di penjara pada kali pertama saya tahanan politik 70’an dahulu. Saya terkesan kerana rasa tawaduknya, humility, rasa rendah dirinya untuk mengupas terutama di hadapan rakan-rakan yang lebih menguasai, memahami sosok peribadi dan sumbangan Hamka. 

Hamka sendiri pernah menyebut dalam karyanya itu serangkap pantun seloka yang seiring dengan budaya Minang,

Belayar ke Pulau Bakal

Bawa seraut  dua tiga

Kalau kail panjang sejengkal

Janganlah laut hendak diduga

Itulah tentunya keupayaan saya mengulas agak terbatas.

Saya mengenali Hamka pertama melalui ibu saya kerana dia amat berminat dengan membaca karyanya. Dia lebih meminati karya-karya sasteranya. ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’, ‘Merantau ke Deli’, ‘Tuan Direktor’ dan lain-lain.

Kemudian baru kita baca ‘Tasauf Moden’. Dalam ABIM peringkat awal kita diperkenalkan dengan Tafsir al Azhar. Yang menariknya semasa saya masih muda umur 20’an tahun sebagai tahanan politik (di Kamunting), Syaikh Razali Nawawi mengusulkan kepada saya agar menterjemahkan karya Tafsir al Azhar ini kepada Bahasa Inggeris. Saya pun merasa gagah dan terus memulakan dengan terjemahan al Fatihah kemudian al Baqarah. Saya merasa amat sukar kerana Buya Hamka itu sasterawan, jadi untuk terjemah pantun, seloka, bidalan, aduh! Itu saya fikir amat sukar sekali terutama dalam Bahasa Inggeris.

Wakaubagaimanapun saya akui Dr Khairuddin al Juneid dalam buku barunya Hamka dan Islam, Cosmopolitan Reform in the Malay World’, satu karya berbahasa Inggeris yang amat mengesankan.

Setelah saya terjemah satu juzuk, saya ‘surrender’ kerana tidak mampu meneruskan terjemahan itu. Deraf  terjemahan Bahasa Inggeris itu masih ada walaupun ia tidak begitu kuat.

Kemudian saya bertemu Hamka setelah Revolusi Iran 1979, di konferensi kedua diundang oleh Menteri Luar Iran Sadegh Ghotbzadeh. Di situlah saya berdamping dengan Buya Hamka berhari-hari dari Tehran hingga ke Qom. Buya Hamka mencermati keadaan di Iran. Seperti biasa kita mendukung pada mula tetapi dia mulai meluahkan rasa kegelisahan dan meragui kerana sudah ada kecenderungan yang dianggap sosok yang ekstrim yang mungkin menyulitkan hubungan Iran dengan negara-negara Islam yang lain terutama di kalangan Sunni. Itu pandangan awal Hamka sebelum ada tegahan yang lebih dahsyat yang kita saksikan. 

Apakah yang saya dapat kesankan daripada Hamka? Hamka seorang sasterawan, sejarawan, alim, pemikir, filosof, tentunya seorang mufassir. Kita lihat sosok Hamka ini seorang yang unik, umat tidak mampu melahirkan tokoh ‘renaissance’ seperti ini. Lebih tepat lagi tokoh nahdah kerana moralnya. Juga seorang pejuang, terlibat juga dengan Pak Natsir dan gerakan Masyumi. Penentangan atau kritikan Hamka terhadap Soekarno menyebabkan  Hamka di asak oleh Pramudya Ananta Toer dan PKI, lalu akhirnya dia ditahan. Maka inilah sosok alim, sasterawan dan pejuang.

Kita lihat karya-karyanya. Yang menarik adalah dia melontarkan idea termasuk dalam tafsirnya meluaskan cakerawala pandangan sarwar yang tidak menjadi kelaziman pada karya-karya agama ketika itu. Malah karya awal Hamka tahun 50’an Pengantar Agama Islam, buku kecil ini pun sudah mengupas soal aqidah, soal akhlak, soal hukum itu dengan cara menggalakkan pelajar dan umat berfikir dan mempersoal, dan mengaitkan hukum dengan kefahaman masyarakat. Ini yang menyebabkan Hamka mengambil pendekatan lebih lunak tatkala ada pembenturan idea di antara kaum muda dan kaum tua. Lihat dalam karyanya ‘Ayahku’. Dan juga yang agak kontroversi iaitu ‘Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor’ yang bukan saja relevan pada tahun 60’an dan 70’an tetapi masih sampai sekarang kerana masih ada idea-idea yang ultra conservative yang mengongkong pemikiran, yang menyebabkan pemikiran kreatif itu terbantut.

Sudah tentu bukan semua kupasan-kupasan Hamka itu dapat kita pertahankan. Kefahamannya tentang politik semasa umpamanya. Itu boleh saja kita kupas, ulas dan kritik. Tetapi dia berjaya melihat Islam itu dalam konteks yang semasa, yang mampu memberikan kita kefahaman terhadap cabaran-cabaran semasa. Umpamanya beberapa tokoh-tokoh sarjana Indonesia juga memiliki kelebihan dan kelainan-kelainan. Hamka melontarkan pandangan daripada al Kawakibi. Umm al Qura, Tabai al-Istibdad wa-Masari al-Isti'bad, dua karya besar al Kawakibi yang sebenarnya tidak ada dalam rujukan di Kepulauan Melayu masa itu. Al Kawakibi tokoh Arab dan waktu itu belum ada penterjemahan dalam bahasa-bahasa lain. Walaupun tidak ada kupasan lanjut tentang al Kawakibi oleh Hamka, kupasan itu dengan sendirinya mengajak kita melihat semula karya-karya ini dan mencari sumber ini. Saya dan rakan-rakan IIIT berusaha menterjemahkan karya ini ke dalam bahasa Inggeris, menerangkan tentang oppression - penindasan dan perlunya memerdekakan bukan saja negara tetapi pemikiran, akhlak. Itu sebenarnya secara tidak langsung sumbangan Hamka dalam soal pemikiran umat. 

Rumusannya, kita tidak terlepas daripada kegalauan, kekeliruan pemikiran yang masih menekan masyarakat. Dan karya Hamka, sumbangan Hamka itu antara yang penting untuk kita lontarkan kepada generasi muda terutamanya agar mereka tidak ketinggalan. 40-50 tahun dulu buku ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’ itu popular tetapi sekarang ini tentunya tidak lagi didengar. Oleh yang demikian saya setuju diperkenalkan semula karya-karya terutamanya Tafsir al Azhar kerana kekuatannya berbeda daripada tafsir-tafsir ulama besar yang ada. Tafsir al Azhar ini memberi kupasan yang sangat mengesankan mengambil kira budaya dan sejarah masyarakat tempatan. 

Ini satu kelainan yang sukar disaingi atau ditandingi oleh mana-mana sarjana atau alim lain tatkala mengupas ayat-ayat al Qur’an dan mengaitkan permasalahan masyrakat semasa.

Sementara kita memberi sokongan dan dokongan kepada anak-anak muda. Kita perlu menyemarakkan semula pemikiran kerana pemikiran Hamka ini adalah pemikiran kreatif dan kritis. Ini yang buntu di kalangan umat Islam kini iaitu tidak kritis dan tidak kreatif. Semua menjadi asakan membelenggu pemikiran umat.

Harapan kita adalah seminar seperti ini mampu mengangkat semula keupayaan umat untuk berfikir secara kritis, untuk merawat bangsa.


(Ucapan Utama Anwar Ibrahim pada SEMINAR ANTARABANGSA PEMIKIRAN BUYA HAMKA DI ALAM MELAYU 13 Mac 2021 anjuran bersama PKPIM, IDE, PEPIAT, HMI, IIIT dan Hamka Center)


Transkripsi dan Suntingan oleh I S L A H  M E D I A

Comments

Popular posts from this blog

Iftor Angkatan Muda Keadilan Ramadan 1446 H

Sederhana Dalam Hidup

Kenang-Kenangan di Ranah Minang Part 4