Apakah politik Islam masih relevan?

 Apakah politik Islam masih relevan? Begitu kurang lebih judul forum yang dicadangkan untuk saya. Saya jawab, memang masih dan makin relevan. Persoalan lebih besar, "politik Islam" atau "Islam politik"? 


Maksudnya luahan idea gaya Maududi, Syed Qutb dan idealisme 1970-an atau ada bentuk-bentuk lain? 


Kita pertimbangkan idea maqasid syariah yang cuba dibawa Amanah. Atau demokrat Muslim (malah Islam Nusantara) yang dekat dengan PKR. Apa makna tersirat ungkapan ini?  


Maknanya Islam akan terus mewarnai polity kita tetapi tidak mestinya gaya Ikhwanisme atau PAS. Ia boleh muncul dalam bentuk Amanah atau PKR. 


Maksud saya di sini, bukan parti politik partisan, tetapi wacana keislaman yang mahu diterapkan dalam konteks kenegaraan. 


Misalnya slogan "Islam penyelamat ummah" atau dasar "penerapan nilai-nilai Islam" sebagai dua wacana berlainan kutub. Yang awal itu dibawa PAS dan satu lagi Umno. 


Slogan dan wacana ini membawa kesan mendalam ke arah Islamisasi dengan takrifan masing-masing. Maksudnya ada niat, asas dan program di balik tabir wacana dan slogan ini. 


Namun saya tidak nampak apa-apa makna besar di balik slogan Islam hadhari, wasatiyyah atau "matang dan sejahtera". Sebab inti idealisme, wacana dan niatnya sama dengan sedia ada. Bukan anjakan mendasar, hanya sekadar mengengsot punggung taktik. 


(ii)


Tidaklah terlalu sukar membaca slogan, niat dan hala tuju ungkapan-ungkapan di atas. Kita ambil ujian pertama, RUU 355. 


PAS menampakkan wajah tebal fundamentalisme dengan kembali kepada syariah, hudud dan negara Islam. Semua yang mengikuti PAS faham mukadimah RUU 355 ini berakhir di mana. 


Namun apakah mendasar perpisahan Amanah, PKR, Umno dan parti Bersatu? Jawapannya "ya" dan "tidak" sekali gus. Kita boleh semak semula kenyataan rasmi, yang cenderung panjang dan berbelit-belit, daripada empat parti ini dalam isu RUU 355. 


Kenapa? Kerana mereka tidak mahu menjadi Kassim Ahmad (yang mencadangkan Islam dibuang daripada perlembagaan) dan Abdul Hadi Awang yang mahu menegakkan hudud. 


Di sinilah wilayah besar yang belum membentuk wajahnya dan masih menjadi teka-teki. Wajah PAS sudah sangat jelas walau bersembunyi pada slogan "matang dan sejahtera". Begitu juga wajah pragmatisme kenyal Umno. 


Yang menarik untuk diselak, kalaulah Hitlerisme masih ada, apa yang ada pada tiga parti ini: PKR, Amanah dan Bersatu? 


Saya sejak dulu menyimpan curiga saya. Yakni semua parti ini lambat laun akan tunduk pada versi fundamentalisme PAS apabila pengundi condong, termakan godaan, pada retorika hudud, syariah dan negara Islam. Bahaya tersimpan di sini: semuanya masih tebal semangat fundamentalisme dan tidak sanggup dituduh "munafik haraki". 


Sebab itulah, akhirnya, apakah politik Islam masih relevan di negara kita, jawapannya pastilah "ya". Sebab apa? Sebab tiada tenaga intelek untuk mencabar arus fundamentalisme ala PAS -- meski pun PAS hilang Kelantan atau tiada satu pun kerusi di Dewan Rakyat. 


Kenapa saya begitu pesimis pada wacana dan retorika "baru" tentang Islam? 


(iii) 


Kita tidak faham persoalan ini sehingga kita lihat sekurang-kurangnya 40 tahun ke belakang, sewaktu Anwar Ibrahim memimpin ABIM pada awal 1970-an. 


Dari sinilah RUU 355 mula tumbuh. Kalau kita lihat evolusi pindaan Akta ini sendiri, dengan pindaan Perkara 121 (a), kes ini akan lebih jelas. Maksud saya, proses Islamisasi perundangan negara sehingga tertangguhnya RUU pindaan Akta 164 baru-baru ini. 


Tetapi saya tidak mahu menjelaskan evolusi ini. Saya mahu menunjukkan pengaruh sosio-politik dan sosio-budaya Melayu-Islam sehingga lahirnya RUU 355, yang dianggap ciptaan sejarah baru di tangan Abdul Hadi Awang dan Najib Razak. 


Dan ... tidak lupa, tudung Naelofar Hijab! Ya, tudung juga sebahagian arus RUU 355, maqasid syariah, demokrat Muslim dan Islam Nusantara. Oh ya! Dengan tidak melupakan arus Wahhabisme yang mencolok.


[bersambung ...]

Comments

Popular posts from this blog

Iftor Angkatan Muda Keadilan Ramadan 1446 H

Sederhana Dalam Hidup

Kenang-Kenangan di Ranah Minang Part 4