Proses Islamisasi : Konteks Malaysia

 Saya selalunya percaya proses Islamisasi akan terus berkembang tanpa dapat dibendung-bendung lagi. Arusnya deras, menghakis dan menghanyut segala benda di sisi dan di depannya. 


Sebabnya apa? 


Sebab kita nampak amalan agama itu lurus, benar, suci, tunggal dan azali seperti kita memahami asas-asas agama. Asas agama tidak tercemar, maka tafsiran dan amalan agama juga tidak tercemar. 


Di sinilah asal mula kekeliruan tersebut. Kita terlupa pengislaman itu suatu proses penghayatan kepercayaan; usaha menterjemah tafsiran akal dalam amalan hidup. Bukan mencetak ulang, photocopy al-Quran, Islamisasi itu ibarat solat kita yang disandarkan pada ajaran solat Rasulullah. 


Yang solat itu kita. Kita terjemahkan atau mengamalkan solat. Maka solat kita pastilah tidak sesempurna ajaran Nabi. Mungkin kekhusyukan atau keikhlasan kita kurang. 


Begitulah juga Islamisasi, proses memahami dan menghayati agama. Ia akan dicemari kepentingan, kelupaan, kejahilan, keabaian, nafsu dan maksiat. Yakni, penghayatan agama itu tidaklah lurus, tidaklah tulen, tidaklah azali, dan tidaklah suci. 


Maka itu muncul pelbagai cara/gaya penghayatan agama. Ada agama gaya Salafi/Wahhabi, ada gaya Sunnah Asya'irah, ada gaya Syiah, gaya mazhab fekah dan gaya aliran tarikat. 


Pendeknya, Islam dalam konteks penghayatan bukan satu, tunggal dan tulen. Agama di sini ada pengaruh manusia dan kemanusiaannya. Ia berbaur dan bengkok dalam kelemahan manusia.


Sebab itu kita dapat rasakan Islam gaya PAS, gaya ABIM, gaya Al-Arqam, gaya ISMA, gaya Tabligh atau gaya IKRAM walau semua pertubuhan/parti ini cuba menghayati, menafsir dan mendakwahkan agama. 


Gaya-gaya ini bukan lagi agama yang tulen/asli tetapi bercampur aduk dengan kepentingan, nafsu, tafsiran dan kemanusiaan. Yang dikatakan Islamisasi itu agama manusiawi yang disandarkan pada kemurnian ajaran asal/tulen.


Walau tidak lagi asli/tulen, penyebaran tafsiran/gaya parti politik, pertubuhan agama, mazhab fekah dan aliran tarikat dianggap tulen/azali. Dianggap mulia, semula jadi, suci dan benar. 


Misalnya PAS menggunakan tema "Islam Memimpin" ketika muktamarnya di Terengganu, ketika ia mengajak UMNO dalam Muafakat Nasional. Yang dimaksudkan "Islam Memimpin" itu bukannya Islam tulen/asli tetapi "PAS Memimpin".


Kekeliruan inilah yang membantu Islamisasi sewaktu tekanan cara hidup Islami menguat dalam tempoh 40-50 tahun kebelakangan. 


Maksudnya, arus Kebangkitan Islam membawa "gejala baharu" beragama, bukan cara faham agama yang pernah dihayati oleh umat Islam sebelum 1970-an atau 1980-an. 


Tetapi yang "baharu" itu, yang "haraki" itu, yang "Ikhwani" itu, dianggap "lebih tulen", "lebih benar" atau "lebih baik" daripada faham agama sebelumnya.


Di sini titik penyimpangan daripada agama tradisi yang banyak dipengaruhi wawasan agama melalui kitab-kitab klasik sejak zaman-berzaman. 


Penyimpangan ini diburukkan oleh keghairahan beragama tanpa tradisi ilmu klasik, sebalik mengejar jalan pintas melalui konsep baharu yang disebut "haraki" tersebut. 


Khazanah ilmu Islam ada dengan kekayaannya, yang masih dipegang aliran tradisi, tetapi arus deras kebangkitan tersebut tidak sepadan dengan usaha mendalami ilmu klasik dan mendakwah ilmu tersebut sebagai tunjang penghayatan agama. 


Maka generasi muda yang jahil, dengan api keghairahan tersebut, bertarung dalam tafsiran baharu haraki dan perebutan kuasa. Muncullah gejala beragama seperti yang kita nampak saat ini di negara kita. 


Yang disebut "gelombang hijau" ada pilihan raya umum 2022 itu sebahagian arus deras tersebut. 


Kenapa begitu? 


Kerana faham agama yang tersebar 40-50 tahun lalu selalu mengejar kuasa. Islam ertinya kuasa, Islam ertinya syumul, Islam ertinya undang-undang, Islam ertinya amar maaruf nahi munkar. Semua ini bererti merebut kekuasaan. 


Kita tidak akan faham fenomena tersebut jika kita tidak berani menyelongkar punca dan dinamika arus fundamentalisme agama yang muncul pada separuh abad ke-20. 


Fathi Aris Omar

Selasa, 12 Februari 2025


BACAAN TAMBAHAN:


https://www.facebook.com/100000196668329/posts/1689042694445603/?mibextid=Nif5oz 


https://www.facebook.com/100000196668329/posts/1690421700974369/?mibextid=Nif5oz 


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2343329852350214&id=100000196668329&mibextid=Nif5oz

Comments

Popular posts from this blog

Iftor Angkatan Muda Keadilan Ramadan 1446 H

Sederhana Dalam Hidup

Kenang-Kenangan di Ranah Minang Part 4