Wacana tanding PAS
Bahagian 2:
Aliran Islam fundamentalisme ala PAS masuk melalui pintu belakang dasar penerapan Islam ala Umno. Selaknya dibuka secara sedar atau tidak oleh orang-orang Anwar Ibrahim dan ABIM. Walau tidak progresif, Islam ABIM lebih "intelektual" dan "nusantara", relatifnya dengan PAS yang Ikhwani (dan sedikit Iran) dan Wahhabi. Di saat ini, kita lihat ada ABIM PAS dan ada ABIM Umno.
Sewaktu Umno memusuhi gerakan politik fundamentalisme gaya PAS, idea-idea mereka merembes masuk dalam birokrat, sekolah, media dan Umno sendiri akibat proses Islamisasi Anwar dan ABIM. Akhirnya gaya dan pendekatan ABIM melemah, sebaliknya ideologi negara Islam, syariah, hudud, tudung dan Islamisasi gaya PAS membudaya dalam masyarakat.
Maka lahirlah PAS politik dan PAS budaya yang berkembang di luar lingkungan rasmi parti itu. Kemerosotan nilai Umno, tekanan pada PAS dan ketekalannya menyampaikan ideologi meningkatkan wibawa Islamnya vis a vis Islam Umno.
Proses itu bergerak antara 20 hingga 30 tahun sehingga presiden Umno yang antihudud pada awal 1990-an bertukar presiden Umno yang membenarkan RUU 355. Abdul Hadi Awang bercakap jujur apabila berterima kasih dengan kerajaan dalam soal ini pada penggulungan ucapannya di muktamar. Beliau sedar Umno dalam posisi tidak dapat lagi menolak mentah-mentah asakan Islamisasinya.
Jadi kita tersilap besar membaca "PAS" jika melihatnya sebagai wadah politik semata-mata yang digerakkan atas persoalan undi dan menang-kalah pilihan raya. Silapnya di mana? Silap apabila kita terlupa melihat pembudayaan ideologi PAS dalam masyarakat. Parti PAS "mudah" untuk ditewaskan tapi perang budaya di peringkat bawah (yang bercampur rasa tersisih, rasa tersinggung Melayu) sukar sekali ditewaskan.
Kita memerlukan satu gerakan wacana Islam yang lain, yang tidak fundamentalis ala Wahhabi-Ikhwani, untuk menyaingi perang budaya PAS ini. Di saat ini, saya tidak nampak akan muncul wacana tanding (counter-discourse) daripada Amanah atau PKR, apatah lagi parti Bersatu. Malah saya tidak fikir ABIM masih ada tenaga untuk mendepaninya dan mencerahkannya. Badan-badan lain seperti ISMA dan IKRAM juga ada sisi-sisi PAS dan Umno masing-masing.
Sebab itu walau ada semacam pertikaian terhadap PAS dalam isu RUU 355, parti-parti pembangkang lain (kecuali bukan Melayu) tidak ada keupayaan menolaknya bulat-bulat. Mereka takut orang Islam menolak mereka jika mereka menegaskan tidak perlu hudud, tidak perlu syariah dan tidak perlu negara Islam, sebaliknya kita hanya mahu sekularisme, liberalisme, demokrasi dan persamaan hak.
Tidak ada dan tidak mungkin ada! Sebab masyarakat yang termakan dengan versi Islam PAS pasti akan menghumban mereka. Mereka sudah tewas dalam perang budaya ini kerana selama ini tiada wacana, tiada tokoh Cak Nur, tiada pelaburan dan tiada gerakan yang beriya-iya menyuburkan wacana tanding menentang fundamentalisme PAS.
Saya tidak faham kenapa Amanah, PKR atau Bersatu memilih melawan PAS tanpa persiapan perang budaya. PAS mungkin boleh diperlekeh tetapi ideologinya berakar terlalu dalam untuk dibongkar dan ditebas. Tidak mungkin untuk 20 tahun kedepan.
Jadi apakah politik Islam masih relevan? Ya! Apakah wajahnya dalam bentuk PAS? Belum pasti ... namun ideologi Islam itu ala PAS (sehingga wacana tanding ditawarkan).
Fathi Aris Omar
4 Mei 2017
Comments
Post a Comment