ANWAR IBRAHIM: BUYA HAMKA, REFORMIS KRITIS DAN KREATIF
Seminar Pemikiran Antarabangsa Buya Hamka amat wajar kerana minat dan kefahaman tentang karya-karya Buya Hamka itu kini tidak sepintar atau sehebat generasi terdahulu. Oleh itu ia harus dikumandangkan semula. Kalau menukil daripada magnum opus (karya besar) Hamka, Tafsir al Azhar yang saya cuba hadamkan semasa di penjara pada kali pertama saya tahanan politik 70’an dahulu. Saya terkesan kerana rasa tawaduknya, humility, rasa rendah dirinya untuk mengupas terutama di hadapan rakan-rakan yang lebih menguasai, memahami sosok peribadi dan sumbangan Hamka. Hamka sendiri pernah menyebut dalam karyanya itu serangkap pantun seloka yang seiring dengan budaya Minang, Belayar ke Pulau Bakal Bawa seraut dua tiga Kalau kail panjang sejengkal Janganlah laut hendak diduga Itulah tentunya keupayaan saya mengulas agak terbatas. Saya mengenali Hamka pertama melalui ibu saya kerana dia amat berminat dengan membaca karyanya. Dia lebih meminati karya-karya sasteranya. ‘Tenggel...